6/14/09

MUHASABAH DIRI - ORANG ISLAM SALAH GUNA 'KONSEP CINTA'

Disediakan oleh :
MOHD FAZREEN BIN MUSIN

'Cinta’.Semua orang sinonim dengan ungkapan berahi ini. Persoalannya adakah kita tahu apakah yang dimaksudkan dengan cinta? ‘Cinta’ merupakan satu perasan kasih ataupun sayang yang lahir dari hati setiap manusia yang bergelar insan. Dari persepsi lain Cinta bermaksud kemampuan kita melihat dari sudut pandang orang lain, merasakan apa yang dirasakan orang lain bahkan menghayati suasana kehidupan orang lain. Dari sudut pandangan Islam, Cinta adalah sebuah amalan hati yang akan wujud dalam (amalan) lahiriah. Apabila cinta tersebut sesuai dengan apa yang diredhai Allah, maka ia akan menjadi ibadah dan sebaliknya, jika tidak sesuai dengan redha-Nya maka akan menjadi perbuatan maksiat. Selain itu, definisi cinta juga adalah adanya cinta itu sendiri. (Madarijus Salikin, 3/9) Daripada pandangan dan dapatan tentang erti ‘cinta’ ini, dapat kita rumuskan disini bahawa tiada takrifan khusus tentang ‘cinta’. Untuk mendefinisikan cinta sangatlah sulit, kerana tidak bisa dijangkau dengan kalimat dan sulit diraba dengan kata-kata. Benarlah apa yang diperkatakan oleh Ibnul Qayyim, “Cinta tidak bisa didefinisikan dengan jelas, bahkan bila didefinisikan tidak menghasilkan (sesuatu) melainkan menambah kabur dan tidak jelas”.

Menurut hadis Nabi, orang yang sedang jatuh cinta selalu
mengingati dan menyebut orang yang dicintainya. Kata Nabi, orang juga bisa diperbudakkan oleh cintanya.


Kata Nabi juga, ada tiga ciri dari cinta sejati iaitu :


(1) Lebih suka berbicara dengan yang dicintai
berbanding dengan yang lain,

(2) Lebih suka berkumpul dengan yang
dicintai berbanding dengan yang lain, dan

 (3) Lebih suka mengikuti kemahuan yang dicintai berbanding kemahuan orang lain atau diri sendiri.
Bagi orang yang telah jatuh cinta kepada Allah SWT, maka ia lebih suka berbicara dengan Allah SWT, dengan membaca firman-Nya, lebih suka bercengkerama dengan Allah SWT dalam I`tikaf, dan lebih suka mengikuti perintah Allah SWT daripada perintah yang lain.

Maksud ‘cinta’ ini terlalu umum jika ingin diklasifikasika kepada pelbagai aspek. Dari defenisinya sahaja sudah jelas menunjukkan bahawa ‘cinta’ itu bersifat ‘Independent’ atau bebas atau boleh berdiri sendiri. Ini bermaksud, setiap individu boleh mempunyai perasan cinta, bebas berkongsi kasih sayang dan bebas mencintai sesiapa sahaja atau apa-apa sahaja, contohnya cinta kepada ibu bapa dan keluarga,cinta kepada sahabat, cinta kepada alam sekitar dan yang paling penting cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.

Dengan termaterainya definisi tentang ‘cinta’ yang mempunyai pelbagai takrifan ini, kita dapati ramai individu yang sering menyalahgunakan ‘konsep cinta’ dan menyalahertikannaya khususnya golongan remaja serta muda-mudi Islam yang masih samar-samar dan tidak memahami konsep atau intipati sebenar ‘cinta’. Kekeliruan yang timbul dibenak fikiran para remaja Islam tentang definisi ‘cinta’ yang kurang jelas ini menyebabkan mereka cenderung untuk mentafsirkan ‘cinta’ ini mengikut hawa nafsu semata-mata. Akibatnya munculah tafsiran – tafsiran baru tentang hal ini. Salah satu contoh tafsiran tentang cinta yang disalahertikan oleh masyarakat pada masa kini ialah “Seseorang itu haruslah membuktikan cintanya dengan apa cara sekalipun walaupun terpaksa menggadaikan maruah”. Takrifan yang terpesong tentang ‘Cinta’ ini dapat dikesan melalui ungkapan - ungkapkan seperti, ‘Kalau nak bercinta mestilah beranai melakukan hubungan seks’ dan ‘Tiada seks, tiada cinta’.Ungkapan ini jelas bertentangan dengan takrifan sebenar ‘Cinta’ kerana sumber atau dapatan yang diperoleh tentang erti ‘cinta’ tidak menyentuh langsung tentang ‘seks’ dan ‘maruah’. Tidak keterlaluan jika dikatakan ‘konsep Cinta’ ini telah teranjak paradigmanya kepada ‘Konsep Cinta Dunia’ oleh sebilangan besar umat Islam. Mungkin sukar untuk anda diluar sana memperakui tentang hal ini. Namun, sebelum kita menyangkal kebenaran ini renung-renungkanlah! Jika benar kita tidak salah tafsir tentang erti ‘cinta’, mengapa masih ada lagi sebilangan besar individu diluar sana yang berpegang-pegangan tangan dan berpeluk-pelukan sesama lelaki ataupun perempuan bukan muhrim hinggakan berlakunya seks luar nikah (zina)? dan mengapa masih ada lagi individu yang lari daripada menunaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim? Persoalan ini harus dirungkai!

Dalam permasalahan seumpama ini, kita tidak boleh menyalahkan orang awam semata-mata kerana penyalahgunaan ‘konsep cinta’ ini juga berlaku kepada pihak-pihak lain. Antara yang paling dekat dengan kita ialah Media elektronik yang sering menyiarkan filem-filem dan drama-drama bersiri yang berkonsepkan ‘Cinta sesama individu yang berlawanan jantina dan bukan muhrim’. Filem-filem dan drama-drama ini jelas bertentangan dengan syariat Islam yang ‘syumul’ dengan mempamerkan adegan-adegan yang membawa kepada kemaksiatan seperti adegan berpegang-pegangan tangan dan adegan berdua-duaan sesama individu yang bukan muhrim. Lebih parah lagi apabila perkara seumpama ini menjadi ikutan muda-mudi Islam pada masa kini. Tidak kurang pula halnya dengan filem-filem yang memaparkan unsur-unsur seks seperti filem ‘remp-it’ dan ‘bohsia’. Kewujudan filem-filem seumpama ini bukan sahaja mendorong kepada peningkatan gejala sosial malah ia seolah-olah merendah-rendahkan martabat rakyat Malaysia khususnya umat Islam.Selain itu, ‘konsep cinta’ ini juga sering disalahgunakan menerusi lirik-lirik lagu yang berinspirasikan ‘Duniawi’, seperti lagu-lagu yang mengagung-agungkan dan memuja-muja kecantikan wanita. Dapat kita lihat sendiri bahawa lagu-lagu seumpama ini terlalu banyak malah semakin bertambah bilangannya. Manakala lagu-lagu yang berunsur kerohanian pula semakin sedikit kuantitinya. Semua ini bukan budaya kita. Semua ini datangnya dari fahaman barat yang cuba untuk mengubah pola fikir dan persepsi Umat Islam. Mengapa kita perlu tunduk dan patuh kepada fahaman-fahaman yang dibawa oleh barat. Sedangkan kita (Umat Islam) mempunyai fahaman sendiri tentang semua ini.

Dapat dilihat disini bahawa masalah ini berlaku bukan kerana kita, tetapi kerana hati dan iman kita. Mungkin ramai orang kata ‘cinta itu buta’. Sebenarnya bukan cinta itu yang buta tetapi ‘hati kita yang buta’ dalam menilai Cinta dari aspek kerohanian dan keduniaan. Nah para pembaca yang budiman, dalam hal ini kita haruslah kembali kepada Al-Quraan dan As-Sunnah yang telah diwahyukan oleh Allah SWT kepada Baginda Rasulullah SAW dan telah diwasiatkan kepada kita (Umat Islam).

Firman Allah dalam surah (Al – Baqarah ayat 2) yang bermaksud ;

“(Kitab ini), di dalamnya tidak ada hal-hal yang diragukan, sebagai kitab tuntunan bagi mereka yang bertakwa”.

Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa tidak ada kemusykilan dan keraguan bagi sesiapa saja (mereka yang bertakwa) yang menjadikan Al-Quran sebagai panduan kerana ia penyuluh bagi yang gelap penerang bagi yang kabur. Segala persoalan dan kemusykilan yang membelenggu jiwa dan pemikiran kita (umat Islam) bisa dijawab oleh ‘Kalam Allah’ ini.

Sedangkan dalam Al-Qur’an itu sendiri terdapat 8 Pengertian Cinta yang mempunyai penjelasan khusus mengenainya. Iaitu…

1. Cinta mawaddah adalah jenis cinta menggebu-gebu, membara dan
"mengemesi". Orang yang memiliki cinta jenis mawaddah, selalu ingin
berdua, enggan berpisah dan selalu ingin memuaskan dahaga cintanya. Ia
ingin memonopoli cintanya, dan hampir tidak bisa berfikir tentang hal lain.

2. Cinta rahmah adalah jenis cinta yang penuh kasih sayang, lembut,
siap berkorban, dan siap melindungi. Orang yang memiliki cinta jenis
rahmah ini lebih prihatin terhadap orang yang dicintainya berbanding
dirinya sendiri. Baginya yang penting adalah kebahagiaan sang
kekasih meskipun dia terpaksa menderita demi cintanya. Ia sedia maklum
akan kekurangan kekasihnya dan selalu memaafkan kesalahan kekasihnya itu.
Dalam cinta rahmah ini termasuklah juga cinta antara orang yang mempunyai pertalian darah, terutama cinta orang tua terhadap anaknya, dan sebaliknya.
Suami isteri yang diikat oleh cinta mawaddah dan rahmah sekaligus, biasanya saling setia zahir batin-dunia akhirat.

3. Cinta mail, adalah jenis cinta yang untuk sementara sangat membara, sehingga menyedut seluruh perhatian hingga hal-hal lain kurang diperhatikan. Cinta jenis mail ini dalam Al-Qur'an disebut dalam konteks orang yang ‘berpoligami’ dimana ketika sedang jatuh cinta kepada yang muda (an tamilu kulla al mail), cenderung mengabaikan kepada yang lama.

4. Cinta syaghaf. Adalah cinta yang sangat ‘mendalam’, ‘alami’, ‘orisinil’
dan ‘memabukkan’. Orang yang diserang cinta jenis syaghaf (qad
syaghafaha hubba) bisa menjadi seperti orang gila, lupa diri dan hampir-hampir tidak menyedari apa yang dilakukan. Al-Qur'an menggunakan term syaghaf ketika mengkisahkan bagaimana cintanya Zulaikha, isteri pembesar Mesir kepada Yusuf a.s.

5. Cinta ra'fah, iaitu rasa kasih yang dalam hingga mengalahkan
norma-norma kebenaran, misalnya kasihan kepada anak sehingga tidak
sanggup membangunkannya untuk solat, membelanya meskipun salah. Al Qur'an
menyebut term ini ketika mengingatkan agar janganlah cinta ra`fah
menyebabkan orang tidak menegakkan hukum Allah, ayat ini menerangkan
hukuman bagi penzina (Surah An-Nuur, ayat 2).

6. Cinta shobwah, iaitu cinta buta, cinta yang mendorong perilaku
penyimpang tanpa sanggup mengelak. Al Qur'an menyebut term ini ketika
mengisahkan bagaimana Nabi Yusuf berdoa agar dipisahkan dengan
Zulaiha yang setiap hari menggodanya (memohon dimasukkan ke dalam penjara saja), Kerana jika tidak, lama kelamaan Yusuf akan tergelincir juga dalam perbuatan bodoh. (Surah Yusuf, Ayat 33)

7. Cinta syauq (rindu). Term ini bukan dari al Qur'an tetapi dari
hadis yang mentafsirkan Al-Qur'an. Dalam Surah (Al - Ankabut ayat 5)
yang bermaksud ;

“barangsiapa rindu berjumpa Allah pasti waktunya akan tiba”.

Kalimat kerinduan ini kemudian diungkapkan dalam doa ma'tsur
dari hadis riwayat Ahmad yang bermaksud “aku memohon agar dapat merasakan nikmatnya memandang wajah-Mu dan nikmatnya kerinduan untuk berjumpa dengan-Mu”.
Menurut Ibn al Qayyim al Jauzi dalam ‘kitab Raudlat al Muhibbin wa
Nuzhat al Musytaqin’, Syauq (rindu) adalah pengembaraan hati kepada
sang kekasih, dan kobaran cinta yang apinya berada di dalam hati sang pencinta.

8. Cinta kulfah. Yakni perasaan cinta yang disertai kesadaran mendidik
kepada hal-hal yang positif meskipun sulit, seperti orang tua yang
menyuruh anaknya menyapu, membersihkan kamar sendiri, meskipun ada
pembantu. Jenis cinta ini disebut oleh Al-Qur'an ketika menyatakan bahwa
Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya, la
yukallifullah nafsan illa wus`aha Baqarah (Surah Al – Baqarah, Ayat 286)

Berdasarkan kelapan – lapan pengertian tentang ‘cinta’ berlandaskan Al-Quran itu tadi, dapatlah kita golongkan diri kita kepada cinta jenis apakah yang kita miliki. Adakah cinta mawaddah, cinta rahmah, cinta mail, cinta syaghaf, cinta ra'fah, cinta shobwah, cinta syauq ataupun cinta kulfah? Tepuklah dada, tanyalah minda dan tanyalah iman. Tapi, jangan tanya Aiman, nanti Aiman kata, ‘Aiman tak kisah’. Berdasarkan pengertian tersebut juga, dapat ditakrifkan bahawa Al-Quran ini diturunkan adalah sebagai panduan kepada umat manusia untuk menuju ke jalan yang diredhai Allah dan tujuan Al-Quran ini diturunkan bukanlah untuk suka-suka melainkan untuk (kita) beriman kepadanya.

Para pembaca yang bervisi, tujuan saya membangkitkan isu mengenai ‘Cinta’ ini bukanlah untuk menyindir ataupun menyalahkan mana-mana pihak, bahkan untuk sama-sama kita renungkan ; Adakah kita ingin meninggalkan nikmat syurga yang kekal abadi dengan mengejar kenikmatan dunia yang bersifat sementara ini? Fikir-fikirkanlah, bukalah minda…!

Sekian, Wasalam…


2 perkongsian pendapat:

Mujahid's Sipitang said...

salam..

bicara tentang cinta ya fazreeen..
emmm..semoga kita semua akan sentiasa berlindung dengan cinta Allah..amin..

norsahariani said...

salam ziarah,
fazreen..teruskan usaha..

Post a Comment