12/18/09

MA'AL HIJRAH: MEMANTAP UKHUWWAH, MEMPERKASA UMMAH

Pada awal abad yang ketujuh Masehi, masyarakat dunia berada di pintu kehancuran. Kuasa dunia pada abad tersebut yang terdiri dari Kerajaan Empayar Rom (509SM-453M) dan Kerajaan Empayar Farsi (700SM-641M) telah menjunam jatuh akibat rebutan kuasa dan perpecahan di sana sini. Masyarakat Arab yang menghuni Semenanjung Tanah Arab lebih teruk menghadapi keruntuhan akibat daripada keruntuhan moral dan sifat taksub kepada kabilah dan puak. Dunia dalam bahaya kerana keadaan masyarakatnya tidak stabil lantaran kehilangan tonggak pegangan dan moral.

Allah Maha Adil dan Maha Penyayang kerana tidak membiarkan masyarakat manusia terus hancur dan musnah. Allah s.w.t mengutuskan seorang rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam mengimbau kembali peristiwa tersebut, Allah s.w.t menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

'Dan berpegang teguhlah kepada Tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati kamu (hingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (melalui Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya'

(Ali ‘Imran:103)

Ayat tersebut antara lain menjelaskan bahawa keadaan manusia yang hampir-hampir rosak binasa dan akan menerima akibat yang lebih buruk di akhirat telah diselamatkan menerusi pengutusan rasul untuk memandu mereka ke jalan yang benar dan akhirnya mereka terselamat.

Bagi mengubah masyarakat supaya berada dalam keadaan selamat, Rasulullah s.a.w telah berhempas pulas mengorbankan segala apa yang ada dan ini diikuti pula oleh sahabat-sahabat baginda yang setia. Dalam tempoh 23 tahun, usaha tersebut dicurahkan oleh baginda dan akhirnya mencapai matlamat iaitu berjaya mengubah dan menyelamatkan masyarakat dunia dari kehancuran dan kerosakan.

Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w membuat perbandingan tentang usahanya itu yang bermaksud:

'Antara aku dan kamu diumpamakan seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Maka datanglah segala unggas dan binatang-binatang kecil yang berterbangan lalu jatuh ke dalamnya, sedangkan lelaki itu berusaha untuk menahan benda-benda tersebut dari jatuh ke dalamnya. Aku memegang dengan kuat ikatan pinggang kamu supaya tidak jatuh ke dalam api, sedangkan kamu terlepas dari peganganku.'

Hadith ini menggambarkan keadaan manusia yang menuju kepada kebinasaan sedangkan mereka tidak mengetahuinya. Manakala Rasulullah s.a.w pula berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka agar terlepas dari kebinasaan itu. Akhirnya masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Arab telah dapat mencabar kuasa dunia iaitu Rom dan Farsi seterusnya muncul selepas itu sebagai sebuah masyarakat yang mengambil alih kuasa dunia.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a berjaya mengubah masyarakat dari sudut kepercayaan, sikap, moral, cara berfikir dan segala-galanya, termasuk perubahan pengorbanan daripada tertumpu kepada sesama manusia kepada tertumpu kepada Allah. Masyarakat manusia berjaya dipindahkan dari dua keadaan yang perbezaannya sangat jauh.

Dalam menyusuri perkembangan sejarah, selepas kejayaan kali pertama maka masyarakat Islam mengharungi jatuh bangun dalam pentas pergolakan dunia dan ia berkait rapat dengan komitmen mereka terhadap agama Islam yang suci. Era kemalapan umat Islam kali terakhir berlaku pada awal abad ke-20. Sejak kejatuhan Khalifah Uthmaniah di Turki pada tahun 1924, masyarakat Islam semakin terumbang-ambing di gelanggang dunia. Kini masyarakat Islam masuk ke era kelemahan dan keruntuhan yang menyeluruh. Masyarakat Islam yang berpecah-pecah berdasarkan kawasan dan negara, menjadi sebuah masyarakat yang sentiasa dicabar dan dihina di mana-mana. Menjelang abad ke-21, masyarakat Islam diganyang di merata-rata seperti di Yugoslavia, Iraq, Palestin, Kosovo dan di seluruh pelosok dunia. Apa yang berlaku sekarang jelas sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud:

'Hampir-hampir seluruh umat mengeliling kamu sepertimana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka.' Ada yang bertanya, 'Apakah itu disebabkan bilangan kita kurang?' Nabi s.a.w menjawab: 'Bilangan kamu pada ketika itu ramai tetapi seperti buih. Allah mencabut dalam hati seteru kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn dalam hati kamu.' Ada yang bertanya: 'Apa al-wahn itu wahai Rasulullah?' Jawab Baginda: 'Cintakan dunia dan bencikan mati.'

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa sampai suatu masa orang-orang Islam samalah seperti satu hidangan yang dikelilingi oleh sekumpulan orang yang lapar lagi gelojoh makan. Tiada sedikitpun perasaan bimbang dalam hati orang bukan Islam untuk melakukan apa sahaja yang disukai terhadap orang-orang Islam kerana mereka sangat lemah.

Ada bermacam-macam jawapan apabila ditanya sebab kelemahan masyarakat Islam sekarang. Ada yang berpendapat ia berpunca dari kelemahan politik dan perpecahan di kalangan masyarakat Islam. Ada yang berpendapat kerana kelemahan ekonomi, kelemahan pendidikan dan pencapaian ilmu ataupun kerana kelemahan dalam pencapaian sains dan teknologi. Ada yang memberikan alasan kerana kelemahan iman atau kerana tidak mengikut arahan agama dan bermacam-macam lagi.

Namun berdasarkan hadith itu tadi, jelas menunjukkan bahawa sebab kelemahan masyarakat Islam ialah hilangnya semangat berkorban dari dalam diri mereka. Umat Islam sudah tidak sanggup berkorban untuk tidak cintakan dunia atau berkorban untuk tidak takut mati. Mereka cintakan dunia sehingga sanggup memilihnya dengan membelakangkan kepentingan agama. Mereka juga takutkan mati apabila dituntut oleh agama bangun memperjuangkan sesuatu kebenaran. Inilah sifat-sifat negatif yang menjangkiti umat Islam.

Roh Ma’al Hijrah memerlukan setiap umat Islam berkorban untuk berpindah daripada bentuk negatif yang ada dalam diri mereka kepada bentuk-bentuk positif yang selaras dengan Islam. Berkorban ataupun jihad perlu tersemai di dalam jiwa masyarakat Islam sama ada dari sudut pengertian mahupun sikap.

Masyarakat Islam kini agak jauh terpesong dari landasan agamanya. Sebagai contoh, sungguhpun agama menuntut agar umatnya menuntut ilmu, tetapi kenyataan yang ada, sehingga kini sebahagian besar masyarakat Islam adalah buta huruf. Islam juga menuntut umatnya bersatu padu. Namun realiti masa kini umat Islamlah yang paling ramai berpecah belah. Demikianlah juga, Islam menuntut umatnya supaya rajin, berdisiplin dan menjaga masa tetapi orang Islamlah yang kurang berusaha, tidak berperaturan dan suka membuang masa.

Jika dilihat kepada dasar-dasar ajaran Islam itu sendiri, peluang orang Islam untuk maju dan mulia dalam dunia masa kini amatlah cerah. Ini kerana orang Islam mempunyai aset yang mencukupi dalam rangka untuk menempah kemajuan iaitu dorongan dari ajaran Islam dan aset material.

Aset galakan dan dorongan agama ini dapat dilihat dengan jelas di mana Islam sangat mementingkan ilmu dan mewajibkan ke atas setiap umatnya menuntut ilmu. Agama juga menuntut orang Islam sentiasa membina kekuatan dan kemuliaan. Kewajipan ini mendorong kuat umat Islam berusaha mencapai kekuatan dan kemuliaan pada setiap masa dan ketika. Ajaran Islam juga sangat mementingkan pegangan hidup yang mantap dan akhlak mulia. Islam juga mewajipkan umatnya menjalankan aktiviti kehidupan dengan bersih, ikhlas dan amanah.

Oleh itu, galakan-galakan seperti ini sangat penting dan menjadi modal yang besar kepada masyarakat Islam dalam mengembalikan keagungan dan kegemilangan zaman emas umat Islam.

Di samping itu, umat Islam memiliki aset material yang besar dan utama yang tidak dimiliki oleh kuasa kuffar. Petroleum, gas asli, bahan galian, sumber air, hasil hutan, bahan makanan, bilangan penganut dan banyak lagi adalah sumber kekuatan umat yang sentiasa menjadi bahan rebutan dan eksploitasi oleh golongan kuffar. Dengan adanya aset-aset tersebut dan manfaat secukupnya maka tidak mustahil masyarakat Islam menjadi satu masyarakat yang kuat dan maju sebagaimana yang pernah ditempa pada suatu ketika dahulu.

Perpindahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a dari kota Mekah ke Madinah dan sebelumnya perpindahan sesetengah sahabat dari Mekah ke Habsyah, merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing dalam Islam dan ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.

Untuk terus maju dan mencapai kemuliaan, masyarakat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dan hanya menyerah kepada takdir. Umat Islam dahulu telah berjihad secara habis-habisan, maka sebab itulah mereka berjaya meletakkan Islam di tempat yang mulia dan sepatutnya. Kini giliran kita memberi sumbangan kepada agama yang suci ini agar ia terus berkembang dan dihormati. Sesungguhnya bumi ini dan segala apa yang ada padanya adalah hak kepunyaan umat Islam. Di tangan orang Islamlah selayaknya ia harus ditadbirkan. Firman Allah s.w.t yang maksudnya:

'Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz, bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh'

(al-Anbiya’:105)

Ayat tersebut menjelaskan kepada orang Islam tentang hak mereka mewarisi pentadbiran bumi ini, tetapi dengan syarat bahawa mereka terdiri dari golongan orang-orang yang soleh. Jika syarat tersebut luput, maka mereka tidak berhak apatah lagi layak mendapatkannya.

Bagi melepaskan diri dari kongkongan kelemahan dan kehinaan, maka umat Islam perlu melihat hijrah dalam pengertiannya yang luas iaitu perubahan diri menuju kepada kegemilangan di dunia dan di akhirat. Untuk itu maka langkah yang perlu diatur mestilah mengandungi kefahaman yang jelas dan gerak kerja yang teratur dan betul.

Perubahan ke arah kemajuan dan kemuliaan ummah bermula dengan pengisian kefahaman bahawa Islam adalah agama yang agung dan mulia maka umatnya juga jelas adalah umat yang agung dan mulia. Namun ia hanya dapat dicapai menerusi kekuatan spiritual, moral, fizikal, dan daya cipta serta kesatuan umat itu sendiri. Masyarakat Islam juga wajib memahami bahawa segala ilmu yang baik dan berfaedah kepada manusia adalah termasuk ke dalam ilmu yang disukai dan dituntut oleh Islam. Oleh itu, menuntut ilmu yang bermanfaat adalah satu kewajipan dan dikira berdosa mereka yang mengabaikannya. Masyarakat juga perlu memahami bahawa mereka merupakan pewaris yang sah kepada kepimpinan bumi ini. Tanpa pertunjuk dan panduan hidup dari Allah Tuhan semesta alam, mustahil kaum lain yang mensyirikkan Allah s.w.t layak mentadbir bumi yang diciptakan-Nya.

Di samping kefahaman, beberapa gerak kerja juga harus diatur oleh masyarakat Islam untuk tujuan kemajuan dan kemuliaan Islam iaitu menceburkan diri dalam pelbagai kajian dan penemuan dengan lebih kuat daripada masyarakat lain, asalkan ianya berfaedah dan tidak bercanggah dengan batas-batas syarak. Masyarakat Islam juga perlu bergerak dan bekerja secara terbuka tanpa terikat dengan kongkongan pemikiran yang sempit dan merugikan. Dan juga perlu menghidupkan dan menghayati semangat jihad iaitu bersungguh-sungguh dan berkorban dalam mencapai cita-cita murni yang bertepatan dengan Islam. Umat Islam tidak dapat tidak mesti memperkukuhkan tonggak kekuatan yang terdiri dari kekuatan akidah, fizikal dan material. Mereka juga perlu mempertingkatkan usaha melahirkan masyarakat yang soleh dan seimbang dari segi rohani dan jasmani kerana ia menjadi syarat mewarisi teraju kepimpinan bumi ini.

Masyarakat Islam yang kian pudar dan kian hilang kekuatan tidak boleh dibiarkan terus berada dalam keadaan seperti ini. Masyarakat Islam pada hakikatnya mempunyai aset dan sumber kekuatan yang perlu digerakkan dan dimanfaatkan demi kemajuan dan kemuliaan umat. Kita mampu berbuat demikian jika kita mahu kerana bekalan sudah tersedia. Jika generasi awal umat Islam boleh melakukannya maka mengapa kita tidak boleh. Sesungguhnya Ma’al Hijrah merupakan titik tolak yang paling sesuai ke arah itu.


sumber: Prof. Madya Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin

Kesimpulannya:
Umat islam yang bersatu padu melahirkan umat yang berjaya. Walaupun para pemimpin sekarang sentiasa berpaut pada ideologi masing-masing, namun sifat tolak ansur perlu dititikberatkan agar menjamin sebuah negara islam yang aman dan maju. Masyarakat islam juga perlu bersatu padu, hormati arahan pemimpin agar negara dapat dimajukan dengan lancarnya tanpa ada sebarang masalah yang boleh menyebabkan perpecahan antara umat islam dengan umat islam dan umat islam dengan "manusia yang mesti dilindungi"(orang-orang kafir yang bernaung di negara islam). Sejarah Ma'al Hijrah haruslah disemai dalam diri umat islam agar umat islam dapat menjadi pemangkin atau peneraju negara pada masa depan.

12/13/09

CUTI!! NAK BERSERONOK??

Sudah pasti masa inilah yang dinanti-nantikan oleh orang ramai untuk berseronok, mengurangkan tekanan disebabkan masalah yang dihadapi tetapi, perlu diingatkan kepada umat islam agar jangan pula menjadi lalai sehingga tidak menitikberatkan mana yang baik atau buruk, mana yang halal ataupun haram dan semuanya bergantung kepada iman, bak kata peribahasa, “tepuk dada,tanya iman.” Hmm... mengapa bukan tanya selera? Selera merupakan nafsu yang sememangnya tidak boleh dikawal seperti mengejar kemewahan dunia.
Contoh “selera” orang yang bercuti sudah tentu mereka pergi ke tempat yang menyeronokkan seperti “funfair” atau mana-mana tempat yang telah dirancang dan tidak diketahui keinginannya sama ada bertujuan baik ataupun tidak.

FUNFAIR!!

Tempat yang menjadi kegilaan remaja mahupun segelintir masyarakat islam. Jikalau tujuan hanya ingin menikmati suasana tempat tersebut masih dikira baik. Mengapa? Sedarkah wahai umat islam bahawa kebanyakkan permainan yang terdapat di funfair berbentuk perjudian!! Ramai umat islam yang tertipu dengan permainan yang berbentuk hadiah. Cuba fikirkan cara perjudian yang dilakukan melalui penjualan “nombor ekor” serta cara perjudian di funfair. Beli nombor ekor, sekiranya tidak kena, bazir wang dan tidak membawa pulang apa-apa serta wang tersebut menjadi hak milik penjual nombor manakala perjudian di funfair pula, beli tiket cabutan bertuah, jika tidak kena, hadiahpun tidak ada, bazir wang dan untungnya pula si penjaga tempat permainan tersebut yang dapat. Walaupun jualan tiket bertuah di funfair hanya sen-sen saja, “selera” seseorang boleh menyebabkan seseorang ingin cuba berkali-kali.
Bayangkan tempat berseronoklah menjadikan manusia lalai. Wahai umat islam, berseronok didunia fana hanya sementara dan belum tentu kita boleh berseronok didunia akhirat. Berseronok menjalankan amanah Allah didunia sudah tentu dapat menjamin kehidupan kita di akhirat kelak.

posted by: Nadhirah

12/11/09

WAHAI UMAT ISLAM, BANGKITLAH BERJUANG!!

Che Aminah dan Natrah
Natrah



Kisah Natrah telah diutarakan melalui akhbar,majalah serta mana-mana “e-blogger”. Persoalan tidak perlu dipertikaikan lagi kerana matlamat pejuang islam amat jelas iaitu Menjaga Maruah Islam. Ana ingin memaparkan latar belakang Natrah, seorang hamba Allah yang diberikan hidayah sehingga beliau tidak ingin keluar daripada Islam.
Nama sebenar beliau ialah Maria Huberdina Bertha Hertogh, merupakan anak Belanda yang kemudiannya menjadi anak angkat kepada Che Aminah di Kemaman, Terengganu.
Che Aminah merupakan seorang pendakwah yang berjaya mengislamkan Natrah dan ini merupakan kali kedua kerana sebelum ini Mak Cik Aminah pernah mengislamkan seorang anak jepun bernama Kamariah. Mak Cik Aminah merupakan watak penting dalam kisah perjalanan hidup Natrah.
Kisah Natrah yang ingin dimurtadkan melalui perbicaraan mahkamah menarik perhatian seluruh dunia kerana ini merupakan pertembungan Islam-Kristian. Orang-orang Melayu pada ketika itu boleh sabar dengan keputusan mahkamah tetapi, apabila provokasi akhbar Inggeris berhari-hari menyatakan Natrah melutut pada patung Virgin Mary menyebabkan orang Melayu berasa agama islam dihina, lalu bangkit merusuh di Singapura. Keberanian umat islam pada ketika itu menyebabkan penjajah terkejut dan seluruh dunia tergamam dan mereka mula hormat terhadap keberanian dan pengorbanan orang Melayu. Orang Melayu datang dengan pelbagai cara dan dari serata tempat hanya kerana ingin menyelamatkan Natrah. Namun, mengapa persoalan yang tidak masuk akal timbul antara orang dulu dengan sekarang. Apa yang membezakan manusia dulu dan sekarang? Bukankah manusia hanya memikul satu tugas iaitu melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan semua laranganNya. Manusia berubah hanya melalui perkembangan evolusi serta sains dan teknologi. Akibat perkembangan itu, manusia mudah terpengaruh dengan kemewahan dunia. Jika dilihat kes murtad pada zaman sekarang, hanya pihak yang tertentu saja yang menanganinya. Mana perginya semangat pejuang islam?? Seharusnya umat islam mestilah menjadikan kisah pejuang islam pada zaman dulu sebagai inspirasi hidup agar dapat melahirkan seorang mujahid yang mampu menegakkan agama Allah.
Jika dikenangkan kembali kisah Natrah yang amat menyedihkan semasa beliau dalam keadaan menangis berlari-lari di dalam mahkamah meminta agar dia diselamatkan apabila hakim Justice Brown memutuskan pengislamannya tidak sah tetapi, pada masa kini, begitu ramai anak-anak gadis Melayu menangis-nangis berperang dengan keluarga untuk murtad!
Justeru, wahai umat islam, bangkitlah berjuang menegakkan islam dan jangan sesekali membiarkan agama islam dipermainkan sebagaimana Natrah memperjuangkan untuk menegakkan agama islamnya. Hati Natrah hanya berpaut pada islam iaitu hanya sujud pada Allah dan tidak ada sesiapa yang mampu menjadikan Natrah murtad meskipun sebuah patung yang tidak bernyawa atau manusia yang jahil kecuali dirinya sendiri berbuat demikian.
posted by: Nadhirah

11/3/09

KRU Sipitang Mendapat Anugerah




Mesyuarat Agung Persatuan Siswazah Sabah (PSS) telah berlangsung pada 1 November 2009 di Kota Kinabalu. Mesyuarat Agung itu telah dirasmikan oleh Presiden PSS iaitu Sdra. Bunyamin Bakri. Seramai lebih 50 orang perwakilan dan pemerhati dari PSS Cawangan telah hadir dalam mesyuarat tersebuat dan diantaranya adalah daripada Sandakan, Kota Belud, Tamparuli, Tuaran, Kota Kinabalu, Ranau, Putatan, Papar dan Sipitang.

Para perwakilan telah membahaskan ucapan dasar presiden dengan pelbagai cetusan idea-idea baru dalam memantapkan organisasi dan gerakkerja PSS dan KRU. Perwakilan dari Sipitang, Sdra. Zaiem Al-Hilmee telah membahaskan ucapan dasar iaitu pemerkasaan tarbiyyah PSS dengan menyerapkan golongan intelektual yakni ulamak muda di dalam PSS agar wujud keseimbangan dalam gerakkerja khususnya.  Perwakilan PSS Sipitang juga menyarankan agar PSS lebih berusaha keras dalam membentuk remaja agar terhindar dari terjebak ke dalam gejala sosial dan mengajak mereka ke dalam program-program ilmiah PSS.

Dalam mesyuarat agung tersebut, pelabagai anugerah telah dipertandingkan dan keputusannya adalah:

Anugerah Kelab Remaja Berdikari     : KRU Sipitang (KRU'S)
Anugerah Kelab Remaja Paling Aktif : KRU Tuaran (KRU'T)
Anugerah Remaja Harapan                : Misran (KRU'T)
Anugerah Veteran PSS                      : Pn. Faridah

Mesyuarat Agung selesai pada jam 4.30 ptg dan ditangguhkan dengan ucapan penangguhan daripada Timbalan Presiden PSS, Sdra. Nurilhakim serta bacaan doa. Wallahu'alam.

10/29/09

Mesyuarat Agung PSS-KRU

MESYUARAT AGUNG PERSATUAN SISWAZAH SABAH (PSS) - KELAB REMAJA UKHUWWAH (KRU)

TARIKH : 01 NOVEMBER 2009 (AHAD)
MASA : 8.30 PAGI
TEMPAT : PUSAT PENERANGAN PERSATUAN SISWAZAH SABAH (PSS), KOTA KINABALU

Mesyuarat akan dihadiri oleh Presiden Persatuan Siswazah Sabah (PSS), Sdra. Bunyamin Bakri. Setiap PSS dan KRU Cawangan MESTI menghantar wakil sekurang-kurangnya 10 orang. Syukran.

10/13/09

Rumah Terbuka PSS-KRU


RUMAH TERBUKA PSS-KRU DAN PROGRAM SINARAN ROHANI

Tarikh : 17 Oktober 2009
Tempat : Taman Awam Teluk Likas, Kota Kinabalu
Masa : 8.00 pagi

SEMUA DIJEMPUT HADIR, SILA BAWA BERSAMA SEDIKIT MAKANAN, HIDANGAN 'POT-LUCK'

10/12/09

Perutusan Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) Pusat


AlhamduliLlah, segala puji bagi ALlah, tuhan sekalian manusia dan alam semesta. Selawat dan salam ke atas kekasih dan junjungan besar kita, Nabi Muhammad SolaLLahu Alaihi Wasallam.. Semoga kita beroleh keredhaan dari ALlah setiap masa dan tempat.. InsyALlah..

Pertamanya, ana mewakili Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) Pusat ingin mengucapkan tahniah dan juga takziah di atas taklifan yakni perlantikan AJK Kelab Remaja Ukhuwwah Sipitang (KRU'S). Ana mengucapkan tahniah kepada antum semua kerana telah dipilih oleh ALlah untuk menjadi penggerak dan pejuang Islam di Sipitang, seterusnya ana mengucapkan takziah kerana tanggungjawab yang dipikul antum akan dipersoalkan oleh ALlah di akhirat kelak samada melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna atau tidak.

Ana terpanggil untuk mem'publish'kan entri ini untuk menghargai dengan sebenar-benarnya jasa AJK KRU'S yang sanggup mengorbankan masa, harta dan tenaga demi kebaikan umat Islam khususnya di bumi Sipitang. Namun secara umumnya, tugas menegakkan Islam ini merupakan tanggungjawab yang wajib dipikul oleh setiap muslim. Mungkin ada di antara ahli masyarakat tidak mengetahui tentang pengorbanan sebenar AJK KRU'S dan perkara ini telah menyebabkan pelbagai kekeliruan telah berlaku pada pandangan mereka dan pihak KRU Pusat merasakan hal sebegini perlu diterangkan dan diperjelaskan kepada mereka yang berkenaan demi kemaslahatan ummah.

Ana sebenarnya bukan untuk memuji-muji AJK KRU'S tapi hakikatnya jasa yg ditaburkan amat besar dan ana begitu hargainya. Namun, sebagai seorang da'ie yakni pendakwah, kita patut bersabar dengan segala ujian yang mendatang. Antara ujian yang sentiasa dihadapi adalah musuh. Berdasarkan hadis Nabi saw, musuh seorang Mukmin ada 5 iaitu:

1) Kafir yang ingin memeranginya
2) Munafik yang membencinya
3) Mukmin yang dengki padanya
4) Syaitan dan Iblis yang ingin menyesatkannya
5) Nafsu yang ingin menguasai dirinya.

Musuh-musuh inilah patut ditangani dengan baik dengan penuh ketegasan dan berhikmah. Ana di sini juga ingin menyeru kepada para pengunjung blog KRU'S yang mungkin terdiri dari ahli masyarakat Islam Sipitang supaya dapat mempraktikkan cara hidup Islam yang syumul (menyeluruh) dalam segenap kehidupan kita. Di samping kita menuntut ilmu mengenai duniawi, kita patut mengambil peluang untuk memantapkan diri kita dengan ilmu ukhrawi..

Ana suka untuk mengajak ahli masyarakat Sipitang khususnya dari kalangan remaja untuk menyertai program-program yang dianjurkan KRU'S bukan sahaja program-program luar kampus seperti lawatan, tetapi juga program-program di dalam kampus seperti Qiamullail bulanan, rehlah, dan lain-lain lagi.. Kami di pihak KRU'S juga menyeru agar remaja Islam supaya bersama-sama membantu KRU'S untuk menjalankan program-program kesedaran dan pembudayaan ilmu agama Islam di kalangan masyarakat Sipitang.

Seterusnya, pihak KRU Pusat ingin menjelaskan mengenai beberapa isu mengenai tuduhan dan fitnah liar terhadap KRU'S dimana ada pihak-pihak yang cuba ingin menjatuhkan air muka AJK kelab ini. KRU Pusat berpendirian tidak akan teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan samada yang kecil mahupun yang besar jika ada pihak didapati berbuat demikian. Ana mewakili KRU Pusat menyokong penuh KRU'S di bawah kepimpinan Sdra. Yunus. Ini kerana, dalam pemerhatian pihak KRU Pusat, Sdra. Yunus telah menunjukkan rekod prestasi gerakkerja yang terbaik dalam usaha dakwah Islamiyyah dalam menarik remaja-remaja Islam untuk beramal dengan Islam.

Akhir sekali, di kesempatan yang ada, ana mewakili saff kepimpinan KRU Pusat memohon kemaafan daripada saff kepimpinan AJK KRU'S dan ahli masyarakat Sipitang jika ada kesilapan. Ana doakan semoga KRU'S dan remaja Islam di Sipitang dapat bersama-sama berganding bahu menjayakan segala program-program KRU'S khususnya. Semoga segala jurang dan benteng yang memisahkan selama ini dapat dihapuskan serta menjadikan kita lebih profesional dalam memperjuangkan kemaslahatan ummah secara umumnya. Sirru' ala barakatillah. Wasallam..

Yang Benar,

Zulzaim Hilmee Bin Abidin,

Ketua Zon Selatan,
Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) Pusat.

9/2/09

Andai ini Ramadhan Terakhir

Seorang yang berakal, dalam sisi Allah, tak akan

                                                   takut terhadap pencelaan dari
 orang yang mencela..... Semua makhluk, dalam pandangannya,
 identik sebagai
 orang yang lemah, sakit dan miskin.
> Renung-renung bersama.....
> Andai Ini Ramadhan Terakhir

> wahai dikau...renunglah engkau
akan nasib diri

> wahai qalbu...sedarkah engkau akan
 gerak hati

> wahai aqal...terfikirkah engkau
 akan apa yang bakal terjadi

> andai ini merupakan Ramadhan yang
 terakhir kali

> buatmu sekujur jasad yang bakal
berlalu pergi

> tatkala usia bernoktah d penghujung kehidupan duniawi
 pabila tiba saat tepat seperti
 yang dijanji Ilahi
kematian...adalah sesuatu yang
 pasti

> andai kau
 tahu ini Ramadhan terakhir tentu
 siangnya engkau sibuk berzikir

> biarpun anak tekak kering kehausan air
 tentu engkau tak akan jemu
melagukan syair rindu

> mendayu..merayu. ..kepada- NYA
Tuhan yang satu

 
> andai kau tahu ini Ramadhan
terakhir

> tentu solatmu kau kerjakan di awal
 waktu

> solat yang
 dikerjai...sungguh khusyuk lagi tawadhu'

> tubuh, minda, dan qalbu...bersatu
 memperhamba diri

> mengadap Rabbul Jalil... menangisi
 kecurangan janji

> "innasolati wanusuki
 wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"

> [sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
 kuserahkan hanya kepada Allah
Tuhan seru sekelian alam

 
> andai kau tahu ini Ramadhan
terakhir

> tidak akan kau persiakan walau
 sesaat yang berlalu
 setiap masa tak akan dipersiakan
begitu saja

> di setiap kesempatan juga masa
 yang terluang

> alunan Al-Quran bakal kau dendang..
 bakal kau syairkan
 
> andai kau tahu ini Ramadhan
 terakhir

> tentu malammu engkau sibukkan
 dengan pesta-pestaan
 berterawih.. .berqiamullail.
 ..bertahajjud. ..

> mengadu...merintih. ..meminta
> belas kasih

> "sesungguhnya aku tidak layak
 untuk ke syurga-

> tapi...aku juga tidak sanggup
untuk ke neraka-MU"

> oleh itu duhai Ilahi...kasihanilah
 daku hamba-MU ini

 
> andai kau tahu ini Ramadhan
 terakhir

> tentu dirimu tak akan melupai
 mereka yang tersayang

> ayuh ke mari kita meriahkan
 Ramadhan

> kita buru...kita cari...suatu
malam idaman

> yang lebih berkat dari seribu
 bulan
> andai kau tahu ini Ramadhan
 terakhir

> tentu engkau bakal bersedia batin
dan zahir

> mempersiap diri...rohani dan
jasmani

> menanti-nanti jemputan Izrail 
 di kiri dan kanan ...lorong-lorong

> redha Ar-Rahman
 duhai
 Ilahi...
> andai ini Ramadhan terakhir buat
 kami

> jadikanlah ia Ramadhan paling
 bererti...paling berseri...

> menerangi kegelapan hati-hati
 kami

> menyuluhi diri ke jalan menuju

> redha serta kasihsayang mu Ya Ilahi

> semoga bakal mewarnai kehidupan
 kami di sana nanti
> namun saudara...

> tak akan ada manusia yang bakal
 mengetahui

> samada Ramadhan ini merupakan
yang terakhir kali

> hanya yang termampu bagi seorang
 hamba itu

> berusaha...bersedia ...meminta
 belas-NYA

> andai benar ini Ramadhan terakhir

> buat kita

>

> Selamat Menyambut Ram

GERAI ( KRU ) SEMPENA PESTA GATA 2009



ASSALAMU'ALAIKUM

Alhamdulillah, sempena menyambut pesta yang hanya 2 Tahun sekali diadakan di Daerah Sipitang, ahli-ahli KRU berkesempatan membuka gerai islamik diikuti dengan penjaja-penjaja lain yang turut menjual barangan masing-masing.


Gerai ni juga mendapat sambutan daripada orang ramai.. Walaupun barangannya mahal..hehe.. biasalah, sudah menjadi lumrah barangan sabah memang mahal berbanding di seberang lautan tu..

Semasa berniaga , penulis dapat rasakan pancaindera setiap insan yang singgah ke gerai ini berbeza ditambah lagi dengan riak wajah mereka..
Mungkin hanya perasaan penulis yang tak menentu saja.. hehe..






salah seorang makcik yang berdudun ke gerai kru..

Berniaga tu,, berniaga juga.. Tugas kita sebagai khalifah dibumi ni jangan dilupakan..

Ahli kru bukan saja berniaga tapi tidak lupa juga gerak kerja dakwah kepada umat islam di Sipitang..
Gerak kerja ni dilakukan pada waktu malam antaranya ialah slot tayangan ceramah bagi membuka kesedaran setiap diri muslimin dan muslimat di daerah ini..



Akhir sekali penulis ingin meminta maaf jikalau perbicaraan yang tak menentu dalam entri ni.. Rasanya terlalu muda penulis baru dalam blog ni jika dibandingkan dengan penerbit blog terdahulu.. Organisasi kru telah diubah.. Harap perubahan ni boleh melancarkan perjalanan kru dalam apa jua aktiviti atau program dakwah yang ingin dijalankan..









8/17/09

Salam Ramadhan

Image Hosted by ImageShack.us

Assalamualaikum W.B.T

Nda lama lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan...  Alhamdulillah kita masih diberi peluang oleh ALlah untuk bertemu lagi dengan Ramadhan.

Semoga bulan Ramadhan kali ini adalah bulan yang lebih terbaik buat kita berbanding yang lalu. Jadikanlah bulan Ramadhan kali ini sebagai madrasah tarbiyah dan bulan untuk kita berpesta ibadah...

PSS Sipitang dan KRU Sipitang mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak buat seluruh umat Islam terutamanya seluruh warga Sipitang dan sahabat-sahabat PSSKRU di mana pun antum berada. Juga buat seluruh pejuang-pejuang Islam yang tegar berjuang untuk Islam...

SELAMAT BERPESTA IBADAH

8/16/09

Kem Smart Solat "09

     Alhamdulillah,syukur kepada Allah SWT dengan Taufik & InayahNya telah mengizinkan kami menganjurkan program KSS '09 bertempat di SMK Pengiran Omar pada 18 julai lalu, serta terus istiqamah bersama gerakan ini.Tinggi harapan kami semoga program ini memberi manfaat dan bimbingan ilmu untuk menghadapi cabaran bagi meneruskan kehidupan di dunia serta mendapat keredhaan Allah dan syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak..ameen

     "Tunggak segala urusan ialah Islam, manakala tiangnya ialah solat & hujung kemuncaknya ialah Jihad Fisabilillah"
     KRU sendiri cuba sedaya upaya  untuk memanfaatkan waktu yang singkat itu dengan pengisian-pengisian ringkas & menarik minat mereka untuk terus memberi komitmen dalam program. Antara aktiviti menarik adalah Explorace, bukan kami kata,majoriti peserta yang kata,memang best pun..hehe

     Antara aktiviti dalam Explorace,lebih kepada aplikasi&praktik
      Alhamdulillah, respon adik-adik amat menyenangkan. Ada yang request agar smart solat ini diadakan setiap tahun, insyaAllah.. Ada pula yang mengaku beroleh banyak ilmu yang selama ini mereka tidak tahu, seperti masbuq dan sebagainya. Tidak kurang juga puji-pujian kepada fasi-fasi yang menurut mereka memang sporting ,Wallahua'lam bukan penghargaan yang kami harapkan sebenarnya, melainkan untuk mendapat redha Allah semata-mata.

"Tiada seorang mukmin yang berdiri sembahyang melainkan bertaburan atasnya Rahmat sampai Arasy & malaikat berkata, "Hai anak Adam,andaikan kau tahu kedudukanmu ketika sembahyang, dan dengan siapa kau ajak bicara, nescaya kau tidak akan berhenti"
      Marilah kita mulakan renungan, sama-sama kita terjun dalam medan islah diri (self rectifying), semoga kehidupan di dunia ini menjadi asbab kebahagiaan di akhirat. Jumpa lagi pada Kem Smart Solat 2010,insyaAllah..(^-^)
minum pagi..
 hamper saiz 's' ja mampu kami bagi

7/26/09

Malam Air Mata Palestin

Bismillahirrahmanirrahim..
     Gerakan dakwah Islamiah ke jalan Allah adalah tugas suci Islam yang menjadi tanggungjawab setiap orang Islam demi menyebarkan ajaran Islam ke seuruh dunia agar cahaya agama Allah yang suci ini terus memainkan peranan memerangi segala kemungkaran dan kedurjanaan. Krisis Israel-Palestin bagaikan bermusim apabila pada suatu etika ia panas di media massa, menjadi isu kupasan para blogger seluruh dunia dan sebagainya, kemudian ia tiba-tiba ia senyap pula pada suatu ketikanya lagi. Umat Islam yang hidup dalam dunia moden yang dihinggapi penyakit "aku aku, dia dia la.." beranggapan kesenyapan itu bererti pertelagahan antara Zionis dengan Umat Islam di Palestin juga tutup buku (selesai).

Sabda nabi Muhammad SAW; "3 perkara yang merupakan tanda iman yang benar dan barangsiapa memperolehnya bermakna dia telah merasai kemanisan iman iaitu: mencintai Alah dan RasulNya lebih dari apa pun; mencintai saudara seagamanya sebagaimana ia mencitai diri sebdiri dan benci untuk kembaki kepada kekufuran."


 
    Akan tetapi bagi mereka yang sedar akan tanggungjawab mereka sebagai saudara seakidah, gerakan dakwah Islamiah yng teratur dan kemas serta sistematik terus dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada umat Islam akan tanggungjawab mereka tika ini.
    
Justeru itu, KRU juga turut bertindak sebagai gerakan kecil dengan menganjrkan program "Malam Air Mata Palestin" di kampung Pelakat pada 10 julai yang lalu.
(ini baru Intro, hehe point sebenar boleh baca pada baris seterusnya)
    Penggerak utama program ialah Saudari Mashana Diman selaku pengarah program juga ahli PSS Sipitang. Dan Alhamdullilah, dua orang ustaz-utaz muda wakil daripada Yayasan Amal Malaysia terpanggil untuk sama-sama menggerakkan roda dakwah ini. Terlabih dahulu suka untuk saya berkogsi sedikit sebanyak mengenai perjalanan program. Bermula seawal 3.00pm ahli-ahli PSS dan KRU mula berkampung di Masjid Pelakat untuk solat Asar bersama-sama masyarakat. Sebelum waktu maghrib masjid mula diisi oleh beberapa orang jemaah. Kemudian sedikit kuliah maghrib disampaikan oleh Ustaz Zulzaiem (PSS & YAYASAN AMAL).
Selepas Isya pula menjamu makanan yang disediakan oleh masjid sendiri, terharu juga kami dengan sokongan mereka terhadap program ini. Tayangan bermula pada jam 9.00 pm, kemudian pembentangan powerpoint mengenai wakil-wakil dari Yayasan Amal yang telah pergi ke Gaza, disampaikan oleh ustaz Mohd Hasrul.
Bagi saya sendiri penggunaan cerita dalam penerangan ust.asrul ini lebih digemari oleh orang ramai. Tabiat semulajadi yang cenderung kepada mengambil tahu menjadikan mata dan telinga serta hati pendengar tertumpu kepada dua bibir mulut pencerita, lalu cuba memahami erti yang tersirat dari setiap ucapan. Kira-kira seramai 200 lebih orang memasuki masjid untuk mengikuti tayangan. Alhamdulillah, perjalanan program berlangsung mengikut perancangan sehingga kami bangun berqiamulail di sana seawal jam3.30am. Selepas solat Subuh, satu kuliah khas disampaikan oleh ust.Bakri yang berasal dari Kelantan. Kami meninggalkan masjid pelakat pada jam9.00 sejurus selepas usrah brsama ustaz-ustaz muda dari yayasan amal. InsyaAllah, KRU juga bercadang untuk jelajah beberapa masjid di Sipitang bagi program yang sama.. Terima kasih kepada hadirin yang datang, sokongan kalian amat kami harapkan untuk terus turun padang beramal dijalan Allah. Takbir semuanya!!!
Ketika kejahatan bertalu-talu bak hujan yang turun, tiada siapa pun berani berteriak, "hentikan!!!"
Ketika kezaliman yang bertimbun-timbun tidak lagi dapat dilihat,
Ketika penderitaan tidak dapat ditahan, jeritan tidak lagi didengari.
Jeritan juga kan gugur bagaikan hujan musim panas....

"Ya Allah, kuatkanlah hati-hati ini dalam menyampaikan risalah-Mu, agar tidak gentar ia walau datang ujian-Mu bagaikan air hujan dari langit.."

7/17/09

PERHATIAN !! wajib BACA

Kematian MJ, Pembunuhan Marwa
& Muslim China
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
 
racist2.jpg
 
Sibuk benar pihak media satu dunia meraih keuntungan di atas kematian Micheal Jackson (MJ). Manakan tidak, majlis peringatan MJ di Los Angeles baru-baru sahaja telah menarik minat dan tontonan oleh lebih 2 billion manusia. Rancangan tersebut turut mendapat pehratian jutaan umat Islam yang masih lagi mencari-cari tanda keislaman MJ di majlis tersebut, namun rasanya mereka hampa, tiada sebarang ciri Islam di majlis tersebut walau satu peratus.
Berita kematian MJ berterusan mendapat liputan media, amat meluas dan masih mempunyai magnet untuk menarik pembaca dan peminatnya di serata dunia. Media seperti biasa, berlumba-lumba mencari keuntungan dari kematian dan kehidupan seseorang. Kini, wujud berita baru hasil pendedahan kakaknya yang menyatakan MJ dibunuh melalui satu konspirasi individu di sekelilingnya.
 
KISAH MUSLIMAH MARWA SHERBINI DIBUNUH DI GERMANY
 
marwa.jpg
 
Gambar : Al-Marhumah Marwa, suami dan anaknya 
 
Pada masa yang sama, saya lebih amat tersentak lagi marah dengan pembunuhan Dr Marwa el-Sherbini. Si pembunuh manusia celaka bernama Alex W, penganggur dan penyokong parti pro Nazi German, dia yang berasal dari Russia sebelum itu didapati bersalah mengucapkan kata-kata kurang sopan serta maki hamun kepada Dr Marwa di khalayak ramai pada bulan November yang lalu. Si celaka menjerit melolong kepada Marwa, melaungkan kata "terrorist" dan "Islamist whore" sewaktu berada di Dresden park. Ketika itu, Marwa meminta izin untuk meletakkan anaknya di buaian di taman berkenaan, tetapi si celaka tersebut tidak membenarkan, lalu pertengkaran terjadi.
Si celaka itu diheret oleh Marwa ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman Euro 780. Namun si celaka ini membuat rayuan yang menyebabkan ia bertemu wajah sekali lagi dengan Marwa di mahkamah. Dengan pisau di tangannya si celaka ini menyerbu Marwa yang sedang mengandung tiga bulan lalu menikamnya sebanyak 18 kali di dalam mahkamah di hadapan hakim!.Peristiwa ini berlaku pada 1 Julai 2009 yang llau.
Satu susana yang tidak masuk dek aqal, bagaimana boleh si celaka ini membawa pisau di dalam sebuah mahkamah? Dan bagaimana ia boleh menikam sebanyak 18 kali tanpa gangguan segera dari pengawal dan orang sekelilingnya. Suami Marwa tangkas menerpa untuk membantu namun rupanya mereka terlupa sedang berada di ‘medan perang'. Suaminya ditembak oleh pihak polis semasa ingin membantu isterinya, sedangkan si celaka pembunuh dibiar hidup. Polis menggunakan alas an murahan apabila berkata ‘tersilap sangka', mereka sangkakan suaminya adalah pembunuh. Syeikh al-Azhar Syeikh Muhammad Tantawy mendesak pihak Germany untuk mengenakan tindakan berat kepada si pembunuh. Namun sejauh manakah seriusnya mahkamah akan bertindak terhadap si pembunuh, tidak dapat dipastikan? 
 
Adalah wajar jika dapat pelajar Islam di Germany bergabung tenaga dengan umat Islam di tempat masing-masing menghantar memorandum mendesak tindakan keras ke atas si pembunuh.!
 
Malangnya, berita ini langusng tidak dihebahkan dan disneypakan dari media barat khususnya. BBC senyap sunyi, sedangkan berita mahkamah Dubai yang menjatuhakn hukuman kepada dua warga British yang mengadakan hubungan seks terbuka di pantai Dubai, dihebohkan, mahkamah dubai dikritik seolah melakukan satu tindakan jahat.
Namun, kisah wanita Islam yang mengandung di tikam di dalam sebuah mahkamah di hadapan hakim di sebuah Negara yang membangun kononnya tidak langsung diambil endah. Teringat saya kepada pengalaman bertamu di beberapa daerah di Germany, tidak disangka begitu hodoh wajah sebenar negara tersebut, lebih khusus sebenarnya kepada bangsa Rusia, yang mana warga Rusia sememangnya terkenal sebagai amat bersifat perkauman lagi berjiwa ganas dengan selainnya. Kepada para pelajar Malaysia di Germany dan Russia, jagalah diri anda sebaik-baiknya.
 
THAILAND & URUMQHI CHINA
 
Selain berita itu, kita juga mengeluh panjang membaca berita pembunuhan umat Islam beramai-ramai di Selatan Thailand dan juga kezaliman serta penindasan di Bandar Urumqhi, China. Semua maklumat ini amat patut mendapat perhatian kita dan pemimpin negara-negara umat Islam. Berkenaan peristiwa berdarah di China, Kerajaan Turki telah berusaha melaksanakan tanggungjawab mereka Presiden mereka, Recep Tayyib Erdogan, [1] mengutuk tindakan China secara terbuka, malah menyeru pemboikotan barangan dari Negara China, selain itu menawarkan visa bagi pemimpin masyarakat Islam Urumqhi yang berada di dalam buangan di Washington, Rebiya Kadeer. Kita masih menunggu sebarang kenyataan dan tindakan pimpinan Negara kita.
Dalam kejadian terbaru di Urumqi dalam wilayah Xinjiang, dianggarkan 1,000 hingga 3,000 penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Rakyat. Mereka membantah kematian beberapa pekerja kilang alat permainan akibat perkelahian antara kaum Uighur dengan kaum Han China pada 25 Jun lalu.
Angka kematian akibat pergaduhan antara penduduk Han Cina dan Islam Uighur meningkat kepada 184 orang. Menurut laporan BBC yang berat sebelah melaporkan bahawa jumlah kaum Han yang terbunuh adalah lebih besar dari penduduk Muslim, malah diprovok dengan laporan sebahagian yang terbunuh adalah wanita. Sedangkan sumber-sumber lain mengatakan jumlah sebenar kematian penduduk Muslim tidak didedahkan dengan sebenar.
Situasi buruk itu kelihatan berubah sedikit demi sedikit sehingga kelihatan berubah menjadi tindakan penghapusan etnik, keadaan ini memaksa majoriti umat Islam meninggalkan kawasan tersebut agar tidak disakiti dan dibunuh.
Puak Etnik Han pula berarak di jalan di sini awal minggu ini sambil memegang pisau, kapak, pisau pemotong daging dan senjata buatan lain berazam untuk membalas dendam ke atas etnik Uighur.

Dilaporkan bahawa pemberita menyaksikan samseng Han menyerang dua penduduk Uighur dalam serangan berasingan tetapi warga Uighur mendakwa banyak lagi serangan berlaku walaupun kehadiran anggota keselamatan. Polis rusuhan dan tentera terus memenuhi bandar ini. 
 
DITINDAS PUNCA TIDAK PUAS HATI MUSLIM 
 
Kebanyakan mereka kecewa dengan layanan kerajaan yang lebih mengutamakan penduduk majoriti daripada kaum Han. Kaum Han bukan sahaja menguasai ekonomi, tetapi juga budaya dan tradisional China. Selain itu, masjid-majsid juga telah diarahkan untuk ditutup.
Umat Islam di Xinjiang adalah penduduk asal dan menguasai wilayah Xinjiang namun kini mereka dipandang sebagai penduduk kelas kedua. Mereka ini bukan sahaja ditindas kerana agama tetapi lebih terarah kepada cubaan asimilasi dan dominasi oleh China.
Kebanyakan perniagaan dikuasai oleh penduduk Han dan rumah-rumah penduduk Uighur telah dimusnahkan untuk memberi laluan kepada kemasukan kaum Han. Kebanyakan peluang pekerjaan turut dikuasai oleh puak Han. Lebih menyedihkan budaya kaum Uighur telah diketepikan dan mereka kini umpama golongan minoriti yang terpaksa menumpang di wilayah sendiri walaupun hakikatnya adalah sebaliknya.
Kaum Uighur mengatakan kebanyakan dasar-dasar kerajaan tidak berlaku adil kepada mereka demi memberi tempat kepada penghijrahan kaum Han Cina ke wilayah Xinjiang dan ini telah menimbulkan ketegangan etnik dan menaburkan benih-benih keganasan.
Dari segi kemanusiaan penindasan sebegini tidak seharusnya berlaku. Kaum Uighur hanya mahukan keadilan dan hak mereka dikembalikan. Namun laungan mereka ini tidak mendapat sebarang pembelaan dari kerajaan China. Sesungguhnya pihak berkuasa China tidak harus menyalahkan kaum Islam Uighur sahaja dalam setiap rusuhan yang berlaku. Sebaliknya mereka perlu kembali memberikan keadilan dan kebebasan kepada penduduk asal Xinjiang ini.
Kaum Uighur ini ditindas dari menikmati hasil dari kawasan mereka seperti gas, minyak dan 121 jenis mineral dan 148 jenis yang dikeluarkan oleh China. Regim komunis di sana turut membakar buku-buku berkaitan ilmu Islam, mengganggu masjid dan berusaha menghapuskan Islam dari kawasan kaya terbabit.[2]
 
KESIMPULAN
 
Semoga kita lebih celik dengan beberapa peritiswa hitam dan pembunuhan zalim terhadap umat Islam. Penindasan umat Islam kini berada di mana-mana. Kami yang berada di UK sebenarnya turut merasai sikap perkauman yang diamalkan oleh warga Britain ini. Sebuah akhbar Islam di UK, pernah melaporkan lebih 50% pelajar Islam di sekolah-sekolah seluruh UK mengalami pengalaman dicerca dan diejek dengan bahasa perkauman dan kebencian kepada Islam.
Anak saya sendiri pernah mengalaminya ketika berada Wales dan juga di Leicester. Tudung yang dipakai oleh anak perempuan saya pernah diejek budak lelaki tahun 5 sebagai ‘ayam'.! Cermin tingkap rumah seorang rakan saya pernah dibaling batu oleh beberapa orang budak sekolah, demikian juga cermin belakang kereta MPV Honda saya yang pecah akibat sifat perkauman ini. Ini adalah web yang sangat baik untuk memberikan informasi berkenaan kezaliman yang berlaku kepada Muslim di seluruh dunia, di barat khususnya. Info anti Islam di Barat .
 
Kalau sifat perkauman ini dikira logik di negara barat, tetapi amat malang sebenarnya ia juga wujud di Negara-negara Arab yang merasakan diri mereka lebih mulia daripada bukan arab. Pelajar Malaysia kerap diperleceh di Jordan, Mesir dan lain-lain Negara. Malah sebahagian ulama berbangsa Arab juga tidak kurang kuat sikap perkaumannya. JIka itulah di Negara umat Islam sendiri, tidak hairanlah ia berlaku di Negara bukan Islam.
Buanglah sikap perkauman yang merugikan ini, Islam tidak menghalang cinta kepada Negara dan kaum, namun mestilah ia berada di belakang cinta Allah, Rasul dan jihad di jalanNya. Firman Allah swt :-
Ertinya : Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya."" Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik ( At-Taubat : 24 ) 
 
Akhirnya, sama-sama kita berdoa agar mereka yang terkorban di Xinjiang, Thailand dan Dr Marwa di beri keampunan dan diberi ganjaran yang sebaiknya oleh Allah swt. Juga buat seluruh umat Islam yang berjuang dan dizalimi sejak zaman baginda Nabi s.a.w sehinggalah kini.
Sekian
 
Zaharuddin Ab Rahman
13 Julai 2009